Oleh Sulaiman Salleh
Harian Metro
SEREMBAN: Seorang pengerusi sebuah syarikat yang juga pengedar tunggal produk penjimatan bahan api kenderaan menggunakan teknologi Jerman didakwa menghilangkan diri selepas mengumpul puluhan ribu ringgit menerusi satu skim pelaburan.
Lelaki berusia 40-an itu dikatakan bijak mempengaruhi orang ramai melabur dalam syarikatnya yang didakwa mampu meraih keuntungan 100 peratus dalam lapan bulan.
Dia turut mendakwa pelaburan itu menggunakan sistem muamalat dan terbuka kepada Bumiputera dengan keuntungan dibahagi sama rata sebanyak 25 peratus setiap bulan sebelum mencapai keuntungan berganda 100 peratus selepas lapan bulan.
Bagaimanapun, selepas berjaya mempengaruhi pelabur, lelaki itu didakwa gagal dihubungi menyebabkan pelabur kini terpinga-pinga untuk mendapatkan kembali modal yang dilaburkan.
Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Din, 45, berkata pada 13 Julai lalu, dia melabur RM10,000 ke akaun syarikat itu selepas dijanjikan mendapat RM20,000 dalam tempoh tidak sampai setahun.
“Saya melabur dalam syarikat itu selepas mereka menyatakan matlamatnya untuk membantu taraf ekonomi golongan Bumiputera dan membasmi kemiskinan di samping menyatupadukan orang Melayu.
“Saya juga dijanjikan dividen RM2,500 setiap bulan selepas membuat pelaburan itu menyebabkan saya tidak teragak-agak mengeluarkan wang simpanan RM10,000,” katanya.
Menurutnya, mengikut perjanjian tidak rasmi, pengarah urusan syarikat yang mendakwa produknya berjaya menembusi pasaran Thailand, India, China dan Hong Kong itu akan memberikan dividen 30 peratus selepas beberapa bulan pelaburan dilakukan.
“Beberapa bulan selepas itu saya meminta dividen seperti dijanjikan tapi pengarah urusan syarikat terbabit memberi pelbagai alasan tidak munasabah seperti menunggu perasmian produk oleh menteri, selain sibuk,” katanya.
Selepas didesak beberapa kali, pengarah urusan syarikat terbabit mula sukar dihubungi sebelum terus menutup talian telefonnya.
“Saya mengesyaki sesuatu tidak kena selepas gagal menghubungi dan menemuinya ketika datang ke pejabat syarikat itu di Kuantan, Pahang.
“Saya cuba menghubungi beberapa rakan kongsi lelaki terbabit dan terkejut apabila mereka juga mendakwa ditipu. Berdasarkan maklumat diterima, saya dapat tahu ratusan individu sudah melabur dalam syarikat itu tapi kami akhirnya menjadi mangsa penipuan,” katanya.
Din turut membuat laporan di Balai Polis Seremban pada 18 November lalu.
“Kami berharap polis dapat menyiasat kes ini kerana kebanyakan mangsa adalah pekerja kilang dan berpendapatan sederhana,” katanya.
Sementara itu, Harian Metro yang menghubungi syarikat itu dimaklumkan seorang kakitangannya bahawa pengerusi tidak masuk ke pejabat manakala telefon bimbitnya tidak aktif.












No comments yet.