KUALA LUMPUR: Semua harta dan kekayaan termasuk wang ringgit, kereta dan rumah yang dibeli umat Islam menggunakan keuntungan daripada pelaburan menerusi Internet wajib dijual semula dan hasil jualan itu perlu disedekahkan seperti kepada anak yatim.
Keuntungan hasil pelaburan melalui internet adalah haram berikutan Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa semalam bahawa bentuk pelaburan sedemikian yang menjamin keuntungan secara tetap adalah haram.
Setiausaha Majlis Penasihat Syariah sebuah institusi kewangan Islam antarabangsa di Malaysia, Zaharuddin Abdul Rahman, berkata semua keuntungan berasaskan riba adalah haram dan wajib dilupuskan kerana pelaburan menerusi Internet adalah haram.
“Haram hasil riba itu bukan saja tidak boleh diberi makan anak isteri, malah tidak boleh digunakan untuk apa-apa tujuan sekali pun.
“Bagi sesiapa yang sudah membeli harta seperti kereta mesti menjualnya dan hasil jualan itu disedekahkan kepada badan amal atau rumah anak yatim,” katanya ketika diminta keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan, semalam.
Walaupun hasil pelaburan adalah haram, Zaharuddin berkata, pelabur masih boleh mengambil semula nilai pelaburan yang sudah dibuat.
Berikutan fatwa pengharaman pelaburan internet itu, beliau menasihatkan supaya umat Islam, termasuk mereka yang sanggup berhenti kerja untuk menceburi bidang pelaburan itu supaya memikirkan cara untuk melupuskan harta berkenaan.
“Banyak persoalan yang timbul termasuk bagi mereka yang sudah berhenti kerja dan menjadi pelabur internet sepenuh masa dan menggunakan keuntungan pelaburan untuk makan minum,” kataya.
atau mengubah suai rumah.
“Saya ada membuat penjelasan mengenai cara melupuskan harta hasil riba itu dalam Metro Ahad pada hujung minggu ini.
“Semoga penjelasan itu akan dapat memberi jalan kepada umat Islam yang sudah melabur di internet,” katanya yang juga kolumnis ruangan An Nur dalam sisipan Ekspresi akhbar Metro Ahad.
Zaharuddin pernah beberapa kali menulis mengenai masalah riba dalam pelaburan melalui internet dan mengupas kenapa pelaburan itu sebenarnya tidak sah di sisi Islam.
Mengulas penerimaan pelabur terhadap pengharaman itu, Zaharuddin berkata, lazimnya umat Islam yang terjebak dalam mana-mana kegiatan seumpama itu akan memberi pelbagai alasan bersandarkan pelbagai sumber rujukan.
Bagaimanapun, katanya, umat Islam yang beriman seharusnya akur pada pandangan orang yang berilmu apa lagi sesuatu fatwa yang diputuskan oleh Mufti dan ulama.
“Tidak ada gunanya kita berdolak-dalih. Jangan mempertikaikan dan mencari kesalahan orang lain jika tidak suka dengan perkara yang dibangkitkan, apa lagi perkara yang sudah difatwakan.
“Sebagai umat Islam, kita mesti menerima apa yang difatwakan itu,” katanya.
Sumber : Harian Metro












No comments yet.