Perak beri amaran kerana ia mampu menyebabkan kekacauan berikutan potensi pelabur ditipu cukup besar
KUALA LUMPUR: Perak menjadi negeri terbaru yang memberi amaran kepada umat Islam mengenai bahaya pelaburan di Internet kerana bukan saja ia berunsur riba, tetapi mampu menyebabkan kekacauan di dalam masyarakat berikutan potensi pelabur ditipu cukup besar.
Sebelum ini, Jabatan Mufti Perlis memfatwakan pelaburan di Internet sebagai haram, manakala Johor dan Terengganu meminta Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) mengkaji dan mengeluarkan ketetapan segera.
Menerusi laman web Jabatan Mufti Perak, umat Islam dinasihatkan menjauhi pelaburan di Internet kerana jelas ia melanggar hukum agama, terutama tiada akad jelas ketika memulakan urusan seperti dikehendaki syarak.
Kajian dikeluarkan daripada pejabat Datuk Seri Harussani Zakaria itu turut memberi hujah, kebanyakan pelaburan di Internet tidak menyatakan dengan jelas bentuk pelaburan mereka, sama ada di sektor halal atau haram.
Kajian bertajuk ‘Beberapa Perkara Syubhah (Meragukan) Dalam Pelaburan Internet’ yang dikeluarkan pada 24 Mac lalu itu turut menjelaskan, skim pelaburan berkenaan mendedahkan pelabur kepada bahaya ditipu.
Selain itu, punca pelaburan di Internet perlu dijauhi ialah, ia tidak mempunyai Penasihat Syariah untuk memberi pendapat dan nasihat bagi memastikan urusan pelaburan dijalankan tidak melanggar hukum syarak.
“Islam tidak pernah melarang umatnya menjadi kaya raya, namun kekayaan itu mesti diperoleh secara halal, dibelanjakan secara halal, tidak sombong dengan kekayaan yang ada dan menunaikan tanggungjawab sosial dan agama menerusi hartanya,” kata kenyataan dalam laman web berkenaan yang dikeluarkan pegawai Jabatan Mufti Perak, Zamri Hashim.
Sementara itu, Setiausaha Majlis Penasihat Syariah sebuah institusi kewangan Islam antarabangsa, Zaharuddin Abdul Rahman, berharap satu fatwa kebangsaan dapat dikeluarkan dalam tempoh terdekat.
“Ramai menunggu satu ketetapan mengenai hukum pelaburan di Internet. Kenyataan satu demi satu Jabatan Mufti menunjukkan pelaburan yang semakin berleluasa di negara ini, jika tidak dibendung, mampu menghadirkan masalah besar di dalam masyarakat,” katanya.
Keuntungan besar yang diperoleh daripada skim pelaburan bercorak skim cepat kaya ini menyebabkan ramai pelabur ‘kelabu mata’ dan berikrar tidak akan berhenti sehingga satu fatwa dikeluarkan MPK.
Ini terbukti apabila Metro Ahad menerima banyak maklum balas daripada pelabur selepas menyiarkan artikel bertajuk ‘Saham Neraka’ pada 18 Mac lalu, dengan sebahagian besar daripada mereka menyatakan akan menunggu ketetapan MFK.
“Saya dari Selangor dan fatwa yang dikeluarkan itu di Perlis. Saya tidak akan berhenti melabur sehingga Selangor atau Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan ketetapan,” kata seorang pemanggil yang ingin dikenali sebagai Razali.
Bulan lalu, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mustafa Abdul Rahman, berkata jabatan itu kini mengkaji kesahihan dan status kegiatan pelaburan menerusi Internet dan skim cepat kaya yang menawarkan pulangan tinggi dan semakin berleluasa.
Katanya, hasil kajian akan diserahkan kepada MFK untuk dibincangkan sebelum memutuskan sama ada akan mengeluarkan hukum mengenai pembabitan umat Islam dalam kegiatan itu.
Mufti Johor, Datuk Noh Gadut, turut menyarankan MFK mengkaji segera isu pelaburan menerusi Internet sebelum mengeluarkan fatwa bagi mengelak lebih ramai umat Islam terbabit dalam pelaburan meragukan.
Sumber : Harian Metro












No comments yet.